PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa bersiap sedia dengan pelan kecemasan bagi menjamin keselamatan jemaah haji Malaysia sekiranya berlaku sebarang insiden atau bencana ketika menunaikan rukun Islam yang kelima, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata aspek keselamatan 31,600 jemaah haji menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan tetamu Allah itu dapat menunaikan haji dengan lancar.

"Sudah tentu perancangan kita dah buat, kita bincang dengan kerajaan Arab Saudi (bagi mendapatkan situasi terkini). Itu yang penting.

"Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi, dan jaminan yang kita berikan.. apa sahaja bentuk musibah, sentiasa bersedia dengan pelan alternatif," katanya ketika ditemui pada Majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya 2024 di sini hari ini.

Mohd Na'im yang mengulas persediaan Tabung Haji (TH) ekoran laporan media antarabangsa mengenai banjir susulan hujan lebat melanda bahagian utara Arab Saudi sehingga memaksa penutupan sekolah dan jalan raya, turut percaya bahawa 150 petugas haji TH dapat memberikan komitmen penuh dalam memastikan operasi haji 2024 berjalan lancar.

Beliau turut menasihatkan jemaah haji agar sentiasa menjaga kesihatan, tahap disiplin dan nama baik negara ketika berada di Tanah Suci agar tidak menjejaskan imej negara serta hubungan baik dengan Arab Saudi.

"Kita sebagai negara pertama yang terima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah haji musim ini, jadi jangan sesekali terlibat dalam apa sahaja perbuatan atau kegiatan yang boleh melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Bila mereka beri keutamaan kepada kita, kita kena balas baik," katanya.

Pada 28 April lepas, Mohd Na'im dilaporkan berkata pengeluaran visa pertama itu diberikan kepada Malaysia susulan persiapan awal dilaksanakan TH dalam pelbagai aspek.

Penerbangan kumpulan pertama petugas sudah mula berlepas pada 30 April diikuti dengan tiga kumpulan besar iaitu masing-masing pada 2, 6 dan 9 Mei.

Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula 9 Mei ini manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun 2024.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines pada musim haji kali ini.

-- BERNAMA